KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya memaklumkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tahu dana syarikat yang diterimanya, dilesapkan atau dipindahkan melalui tindakan pecah amanah.
Ini kerana Jho Low adalah proksi dan rakan sekutu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada setiap masa material pengarah bayangan 1MDB.
Kata 1MDB, mereka mempunyai bukti untuk menyokong tindakan saman terhadap Jho Low bagi menuntut wang itu dipulangkan kepada 1MDB yang akan dikemukakan pada perbicaraan kes saman itu nanti.
“Pembelaan defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) adalah keseluruhannya tidak relevan.
“Sebagai proksi dan rakan sekutu Najib, dalam memberi perintah dan arahan kepada lembaga pengarah serta pengurusan kanan 1MDB, defendan pertama juga adalah pengarah bayangan yang mempunyai kewajipan fidusiari terhadap kami dan pada setiap masa material adalah pemegang amanah kepada aset kami,” katanya.
IMDB berkata demikian melalui jawapan pernyataan pembelaan yang difailkan 23 Februari lalu bagi menjawab pernyataan pembelaan Jho Low dalam kes saman yang difailkannya terhadap lelaki itu dan ahli keluarganya.
Dalam pada itu, 1MDB turut berkata, Jho Low mendapatkan proksinya untuk bekerja dalam 1MDB dan anak syarikatnya termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil.
Bulan lalu, Jho Low buat pertama kalinya tampil mendakwa dirinya tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB yang memberinya kuasa mengawal syarikat itu dan empat anak syarikatnya.
Kata beliau bukan pengarah, pemegang saham apatah lagi pemegang amanah atau mempunyai sebarang kewajipan fidusiari dalam syarikat pelaburan strategik negara dan anak syarikatnya.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh dalam pernyataan pembelaannya, Jho Low menyatakan, tuntutan plaintif adalah berdasarkan dakwaan yang dinyatakan dalam tuntutan DoJ Amerika Syarikat (AS).
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan.
Berdasarkan writ saman, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.
1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric Tan.
Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Eric Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – KOSMO! ONLINE