KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram pada Selasa lalu.
Bot nelayan asing yang mempunyai 13 kru itu ditahan pada kedudukan 120 batu nautika dari tenggara Kuala Kemaman dekat sini pada pukul 5.40 petang.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pada mulanya kapal peronda APMM telah mengesan dua nelayan Vietnam sedang asyik menangkap ikan di perairan terbabit.
“Kedua-dua bot nelayan asing berkenaan yang perasan kehadiran kapal peronda APMM telah bertindak memecut laju cuba melarikan diri.
“Sebuah bot itu berjaya melepaskan diri dengan melepasi sempadan antarabangsa manakala sebuah lagi berjaya dipintas dan ditahan selepas hampir 30 minit dikejar,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kuala Kemaman di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua 13 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 23 hingga 45 tahun ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Tambah beliau, bot itu juga tidak mempunyai permit sah daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara. – KOSMO! ONLINE.