PETALING JAYA – Malaysia disenaraikan antara negara destinasi pelancong yang berisko tinggi terutamanya dari segi kesihatan ketika ini.
Perkara itu disahkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dalam satu laporan yang dikeluarkan.
Katanya, Malaysia kini berada pada tahap keempat kategori sangat berisiko tinggi di mana lebih daripada 500 kes bagi setiap 100,000 penduduk didaftarkan bagi tempoh 28 hari yang lalu.
Ia susulan kehadiran varian Omicron yang dikatakan mampu merebak dengan lebih cepat sekali gus menjadi punca berlakunya peningkatan kes jangkitan Covid-19 sama ada dalam dan luar negara.
Semalam, Malaysia telah mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara iaitu sebanyak 32,070 kes.
Sementara itu, negara Bhutan, Brunei dan Iran turut tersenarai dalam kategori tahap keempat yang berisiko tinggi buat para pelancong.
Jelasnya, sebelum ini, kesemua negara tersebut tersenarai pada tahap ketiga, manakala Britain merupakan negara paling lama berada dalam senarai CDC sejak Julai 2021. – KOSMO! ONLINE.