PETALING JAYA – Pembukaan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bukan disebabkan katil-katil di hospital tidak dapat menampung pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan berkenaan diambil adalah bagi memastikan hospital-hospital berkenaan berupaya menangani kes-kes lain, selain Covid-19.
“Buat masa ini kita terpaksa melaksanakan keputusan-keputusan yang praktikal untuk kita kawal kapasiti hospital.
“Sebab itu, semalam saya umumkan kita buka semula PKRC MAEPS ada yang beranggapan sebab kita tidak cukup katil untuk hospital namun bukan begitu.
“Kita juga ada kes-kes lain selain Covid-19 yang juga perlu ditumpukan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai permintaan Hospital Sungai Buloh agar status hibrid dikembalikan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan perkembangan penularan jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat minggu.
“Sekiranya keadaan ini kekal untuk tempoh empat minggu lagi, kita akan buat pertimbangan terhadap permintaan Hospital Sungai Buloh untuk ditukar kembali kepada hibrid,” ujarnya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin mengumumkan pembukaan semula PKRC MAEPS bermula hari ini sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan bebanan di hospital.- KOSMO! ONLINE.