PETALING JAYA – Kehidupan berpoligami perlu diuruskan dengan bijak dan adil oleh si suami dalam pelbagai aspek terutamanya dari segi layanan kasih sayang serta nafkah terhadap kesemua isterinya.
Ini kerana, setiap isteri berhak mendapatkan hak mereka masing-masing dari suami walaupun mempunyai madu.
Seperti perkongsian seorang pengguna di TikTok, Dyla Zahid menceritakan kisah kehidupannya bersama suami serta tiga orang madu yang lain.
Menerusi klip video yang dimuat naik, suaminya dikatakan akan bergilir-gilir pulang ke rumah isteri-isterinya setiap dua minggu.
“Macam ini la kalau hidup bermadu.
“Suami sorang kena gilir setiap dua minggu pergi rumah seorang isteri,” katanya.
Menurut Dyla, apabila tiba gilirannya untuk bersama suami, dia perlu mengambil suaminya dari rumah madunya untuk dibawa pulang.
Tindakan berkenaan perlu juga dilakukan oleh madunya yang lain selepas dua minggu berikutnya.
“Setiap giliran isteri kena datang ambil sendiri suami. Setiap isteri suami dah belikan kereta seorang satu,” ujarnya.
Sementara itu, melihat ketabahan Dyla dalam menempuhi kehidupan bermadu, rata-rata orang ramai kagum dengan kecekalan hatinya.
Selain itu, ada juga pengguna yang turut memuji tindakan si suami kerana dikatakan bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan buat setiap isteri-isterinya.
“Alhamdulillah, walaupun macam itu, dia ada tanggungjawab. Suami puan buat semuanya, sebelum ini selalu kita dengan suami yang ada ramai isteri kurang berlaku adil,” komen seorang pengguna.
Orang kuat sahaja mampu bermadu, tahniah kak, saya tak mampu sebab takut ada cemburu melampau atau tak mampu kawal, lebih baik ada satu sahaja,” kata seorang pengguna lain.
“Tahniah kak, awak memang kental, saya tak mampu, bila orang datang dalam hidup saya nak kongsi suami, saya pilih untuk lepaskan suami saya, saya tak mampu untuk ikhlaskan,” luah yang lain.- KOSMO! ONLINE.