KIEV – Presiden Volodymyr Zelensky menyatakan hari ini bahawa negaranya ditinggalkan sendirian untuk melawan Rusia selepas 130 penduduk Ukraine terbunuh pada hari pertama pencerobohan besar-besaran oleh Kremlin.
“Kita telah ditinggalkan bersendirian untuk mempertahankan negara kita.
“Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa. Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keanggotaan NATO? Semua orang takut,” kata Zelensky dalam ucapan video kepada rakyat Ukraine selepas tengah malam.
Menurutnya, seramai 137 warga Ukraine termasuk anggota tentera dan orang awam terbunuh sejak Rusia melancarkan pencerobohan semalam.
“Sejumlah 316 orang lagi cedera,” tambahnya.
Zelensky juga berkata, ‘kumpulan pensabotaj’ Rusia telah memasuki ibu kota Ukraine, Kiev dan menggesa warga kota supaya terus berwaspada serta mematuhi perintah berkurung.
Presiden itu menegaskan bahawa beliau dan keluarganya masih kekal di Ukraine, walaupun Rusia mengenal pasti dirinya sebagai “sasaran nombor satu”.
“Mereka (Rusia) mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menghapuskan ketua negara (beliau sendiri),” kata Zelensky. – AFP