PUTRAJAYA – Dua hari berturut-turut negara merekodkan kes jangkitan harian melepasi angka 30,000 dengan semalam sebanyak 32,070 kes, sekali gus tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.
Kelmarin kali pertama negara mencatatkan melebihi angka 30,000 dengan 31,199 kes dilaporkan, manakala jumlah kumulatif Covid-19 setakat ini sebanyak 3,315,686 kes.
Berdasarkan data pada laman web CovidNow, daripada jumlah kes harian dilaporkan semalam, sebanyak 209 kes adalah kes import.
“Mengikut pecahan negeri-negeri, kes tersebut dilaporkan di Selangor (7,458 kes), Sabah (4,892 kes), Johor (2,699 kes), Kedah (2,579 kes), Pulau Pinang (2,575 kes), Kuala Lumpur (2,100 kes), Negeri Sembilan (1,840 kes) dan Kelantan (1,746 kes).
“Seterusnya, Pahang (1,647 kes), Perak (1,552 kes), Melaka (888 kes), Terengganu (852 kes), Labuan (444 kes), Sarawak (416 kes), Perlis (262 kes) dan Putrajaya (120 kes),” demikian maklumat tersebut hari ini.
Dalam masa sama, terdapat 46 kes kematian dilaporkan dengan jumlah kematian terkini sebanyak 32,534 kes manakala, sebanyak 17 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID sebanyak 6,646 kes.
Sebanyak 286,521 kes aktif dilaporkan melibatkan 273,799 kes dikuarantin di rumah, 4,356 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,039 kes di hospital, 126 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 201 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. – KOSMO! ONLINE.