PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM153.37 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2021 (S4 2021), meskipun jumlah perolehan menyusut
lebih 15 peratus tahun ke tahun.
Bagi tahun penuh 2021, perolehan DRB-HICOM menyusut 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM12.38 bilion, membawa kepada kerugian pra-cukai sebanyak RM291.27 juta berbanding keuntungan pra-cukai RM540.1 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi tahun 2020 bagaimanapun termasuk hasil pelupusan hartanah yang menyaksikan DRB-HICOM meninggalkan subsektor hartanah perhotelan dan peruncitan.
DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi tahun kewangan 2022, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan Proton mengakhiri 2021 dengan nada yang tinggi setelah menjual 114,708 kereta, jumlah tertinggi sejak 2014.
“Walaupun berada dalam suasana perniagaan mencabar, pegangan pasaran Proton meningkat kepada 21.9 peratus berbanding 20.5 peratus pada tahun sebelumnya.
“Momentum positif ini dijangka berterusan seiring dengan pelanjutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2022 dan pelancaran model baharu serta promosi jualan oleh jenama automotif lain dalam Kumpulan akan menyemarakkan lagi perolehan segmen ini,” katanya.
Mengulas mengenai prospek perniagaannya dalam sektor lain, DRB-HICOM menjelaskan operasi dalam segmen aeroangkasa dan pertahanan dijangka meningkatkan daya pengeluaran mereka dan pada masa yang sama, kekal fleksibel dalam memenuhi permintaan pelanggan.
“Bagi segmen pos, pelan pemulihan sedang berterusan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan kos yang ketat dan strategi mendahulukan pelanggan yang dijangka dapat meningkatkan prestasi keseluruhannya.
“Segmen perniagaan lain dalam perbankan, perkhidmatan dan hartanah pula akan terus beroperasi secara cekap dengan mengoptimumkan pengurusan kos dan meningkatkan produktiviti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE