fbpx

Perang terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua 1945

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Infofrafik oleh Fatimah Sakkiria

MOSCOW – Konflik di antara Rusia dan Ukraine yang telah lama berlarutan akhirnya mencapai kemuncak apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam mengumumkan operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine.

Putin berkata, operasi yang bukan bertujuan menduduki negara itu adalah bagi melindungi kumpulan pemisah di timur negara itu dan ‘melucutkan’ tentera jirannya yang pro-Barat.

“Saya telah membuat keputusan operasi ketenteraan,” katanya dalam satu pengumuman mengejut di televisyen sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu Malaysia).

Beliau kemudian mengecam apa yang disebutnya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang didalangi oleh Ukraine di timur negara itu serta dasar agresif Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara terhadap Rusia.

“Untuk ini, kami akan be­r­usaha untuk mencapai pelucutan tentera dan de-Nazifikasi Ukraine,” kata Putin.

Putin memberi amaran agar negara luar tidak masuk campur dalam peperangan Rusia dan Ukraine. – TASS

Beliau juga berjanji akan membawa mereka yang telah melakukan banyak jenayah dan bertanggungjawab atas pertumpahan darah orang awam termasuk warga Rusia ke muka pengadilan.

Dalam pengumuman itu, pe­mimpin utama Rusia itu menggesa tentera Ukraine supaya ‘meletakkan senjata’ dan memberi jaminan bahawa mereka boleh ‘meninggalkan medan perang tanpa sebarang halangan’.

Kata Putin, beliau tidak mahu melaksanakan ‘pendudukan’ Ukraine, tetapi hendak melucutkan senjata tentera negara itu.

“Mereka (Barat) yang cuba campur tangan dengan kami, mereka mesti tahu bahawa tindak balas Rusia adalah segera dan akan membawa padah yang anda tidak pernah tahu sebelum ini.

“Saya yakin askar dan pegawai Rusia akan melaksanakan tugas mereka dengan berani,” tegasnya.

Bagaimanapun, Putin tidak menyatakan skop operasi ketenteraan atau sama ada ia akan terhad kepada timur Ukraine sahaja.

ANGGOTA bomba cuba memadamkan kebakaran selepas sebuah bangunan menjadi sasaran bedilan Rusia di bandar Chuguiv, Ukraine hari ini. – AFP

Seorang wartawan agensi be­rita AFP di ibu negara Ukraine Kiev berkata, dia mendengar bunyi letupan, kira-kira 30 minit selepas pengumuman Putin.

Letupan turut kedengaran di bandar Mariupol, timur Ukraine dan pelabuhan Odessa di Laut Hitam, demikian menurut beberapa koresponden AFP yang lain.

Bunyi letupan juga kedengaran di bandar raya Kharkiv yang terletak sekitar 35 kilometer (km) ke selatan sempadan Rusia.

Ukraine menutup ruang udaranya kepada pesawat awam, manakala Menteri Luar Dmytro Kuleeba mengumumkan bahawa Ukraine berdepan pencerobohan ‘berskala penuh’.

Sebelum ini, Barat menyatakan bahawa Rusia telah menge­rahkan seramai 150,000 askar­nya dalam formasi pertempuran ke sempadan Rusia-Ukraine, Belarus dan juga Semenanjung Crimea yang diduduki Moscow.

Kapal-kapal perang Rusia turut belayar di Laut Hitam.

ANGGOTA tentera Ukraine menjalani latihan ketenteraan menggunakan kereta kebal berhampiran bandar Chuguev dalam wilayah Kharkiv, kelmarin. – AFP

Sementara itu, Ukraine pula mempunyai kira-kira 200,000 anggota tentera dan boleh memanggil sehingga 250,000 askar simpanan.

Jumlah pasukan Moscow bagaimanapun jauh lebih besar. Rusia mempunyai sekitar sejuta anggota keselamatan aktif, manakala persenjataannya telah dimodenkan sejak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas perkembangan mencemaskan tersebut, Presi­den Amerika Syarikat, Joe Biden segera memberi amaran tentang ‘akibat buruk’ yang akan diterima Rusia dan berkata, dunia akan meminta Moscow bertanggungjawab atas tindakan tersebut.

Katanya, langkah Rusia itu akan menyebabkan ‘kehilangan nyawa dan penderitaan manusia pada skala besar’, manakala ketua NATO mengecam ‘serangan melulu dan tanpa provokasi’ Rusia ke atas Ukraine.

Dalam pada itu, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ukraine menyeru badan dunia itu untuk melakukan segala yang mungkin untuk menghentikan perang tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan semalam bahawa tenteranya telah memusnahkan pangkalan-pangkalan udara dan sistem pertahanan udara tentera Ukraine, beberapa jam selepas Putin menyerang negara jirannya itu.

“Infrastruktur ketenteraan di pangkalan-pangkalan udara tentera Ukraine tidak dapat berope­rasi,” kata kementerian berkenaan dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi-agensi berita sambil menambah, sistem pertahanan udara Kiev telah dimusnahkan.

Di pihak Kiev, tentera negara itu mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat perang dan helikopter Rusia di timur Ukraine dekat rantau yang dikuasai pemberontak pro-Rusia. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI