PASTINYA ramai dalam kalangan peminat tidak sabar menantikan kelahiran anak sulung selebriti cantik dan terkenal, Honey Lee.
Agak lama tidak memuat naik sebarang hantaran dalam media sosialnya lebih-lebih lagi Instagram sejak berbadan dua, Honey baru-baru ini menarik perhatian netizen dengan perkembangan terbaharunya.
Tampil kasual lengkap berselendang, pelakon tersebut memuat naik gambar terbaharu sambil memakai pek panas di kedua-dua telinganya bagi menahan cuaca sejuk ketika berada di luar.
Rata-rata pengikut dan peminat meninggalkan komen berserta pujian dan menyifatkan artis kesayangan mereka itu sangat cantik walaupun sedang hamil lima bulan.
“Cantik sungguh Honey Lee kesayangan kami. Jaga kandungan baik-baik. Semoga bayi dalam kandungan dan kamu sihat hendaknya.
“Naik seri ibu mengandung walaupun sudah hamil lima bulan. Habis berpantang nanti, cepat-cepat masuk set dan berlakon semula,” katanya.
Dalam pada itu, Honey turut membalas komen-komen pengikut dan meminta semua orang agar menjaga kesihatan memandangkan kes Covid-19 yang semakin meruncing di negara mereka.
Honey menamatkan zaman bujang bersama kekasih yang bukan dalam kalangan selebriti pada 21 Disember tahun lalu dan dijangka menyambut kelahiran anak pertamanya Jun depan.