fbpx

Dua beranak harap ehsan untuk hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KARUNANITHEI (kiri) bersama ibunya kini menjadikan sebuah stor usang sebagai tempat berteduh berdekatan Kampung Jawa, Shah Alam.

SHAH ALAM – Dua beranak di Taman Alam Nyata, Kampung Jawa di sini terpaksa tinggal di dalam sebuah stor terbiar sejak lima bulan lalu bagi meneruskan kehidupan selepas mereka dihalau oleh tuan rumah ekoran tidak mampu membayar sewa bulanan.

Lebih memilukan, V. Avreaviy, 89, dan anak lelakinya, P. Karunanithei, 58, kini hanya bergantung kepada ihsan jiran demi ke­langsungan hidup selepas mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Karunanithei berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori untuk sebuah syarikat swasta dengan pendapatan bulanan RM2,000, namun terpaksa berhenti selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kaki kanannya patah, manakala jari kaki kiri terpaksa dipotong sehingga membataskan pergerakannya kerana perlu menggunakan kerusi roda.

“Selepas dihalau dari rumah sewa, saya dan ibu terpaksa me­rayau mencari tempat berteduh sebelum menemui stor terbiar ini untuk dijadikan rumah.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana ada badan bukan kerajaan (NGO) yang datang membantu termasuk membina tandas bersebelahan stor kami bagi memudahkan urusan seha­rian,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini kelmarin.

Karunanithei yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata, segala keperluan makan dan minum keluar­ganya adalah atas ihsan daripada seorang wanita dikenali sebagai, P. Maneesha, 25, yang tinggal di Puchong.

Sementara itu, Maneesha memaklumkan, dia mengetahui nasib dialami dua beranak tersebut kira-kira Oktober tahun lalu apabila menerima beberapa ke­ping gambar mengenai keadaan daif dua beranak itu yang hidup di stor tinggalan yang dipenuhi sampah dan bau busuk.

Tambahnya, dia kemudiannya mengambil inisiatif dengan meminta pertolongan daripada sebuah NGO bagi kerja-kerja membaik pulih semula stor tersebut.

“Kerja-kerja baik pulih berjaya disiapkan pada Disember tahun lalu dengan bayaran bil elektrik dan air ditanggung oleh saya dan NGO berkenaan,” katanya.

Jelas Maneesha, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan meringankan beban keluarga berkenaan boleh ­menghubunginya di talian 011-2629 5328.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI