fbpx

Lelaki maut kereta dipandu anak bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Proton Wira dinaiki mangsa yang bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Batu 9, Jalan Labu, Seremban kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi. - Foto IHSAN BOMBA

SEREMBAN – SEORANG lelaki maut manakala anaknya mengalami patah kaki selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas dengan dua buah kenderaan lain dalam kejadian di Batu 9, Jalan Labu, dekat sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai G. Subramaniam, 72, manakala anaknya S. Phrakash, 23, yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Wira.

Menurut beliau, kemalangan terbabit turut melibatkan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki dan sebuah van yang dipandu seorang lelaki.

“Siasatan awal mendapati lori dari arah Seremban menghala ke Batu 10 Labu dan apabila sampai di tempat kejadian, kereta Proton Wira dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori berkenaan.

“Lori tersebut pula terbabas masuk ke lorong bertentangan dan melanggar van yang berada di belakang laluan Proton Wira tersebut. Akibat kemalangan, Subramaniam telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fazley, pemandu dan kelindan lori serta pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI