fbpx

Telaga Air Timbul tidak pernah kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk Kampung Bukit Sireh menunjukkan kejernihan air dari Telaga Air Timbul yang terdapat di kampung itu.

ALOR SETAR – Sebuah telaga berusia 100 tahun di Kampung Bukit Sireh, Pokok Sena dekat sini yang tidak pernah ke­ring memberi rahmat kepada penduduknya bagi melakukan aktiviti harian terutama pada musim kemarau.

Telaga sedalam empat meter dikenali dengan nama Te­laga Air Timbul itu digunakan oleh penduduk Kampung Budi, Kampung Bukit Sireh, Kampung Bendang dan Kampung Pulau Keramat.

Penduduk Kampung Budi, Abu Bakar Saad, 57, berkata, bekalan air dari telaga tersebut digunakan ramai penduduk untuk membasuh dan memasak suatu ketika dahulu.

“Bagaimanapun sejak kerajaan menyediakan bekalan air paip di kawasan itu pada tahun 80-an, telaga berkenaan sudah jarang digunakan penduduk di situ kecuali pesawah untuk kerja-kerja di bendang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, telaga itu pada mulanya hanya sekadar lubang kerbau berkubang sahaja sebelum penduduk meletakkan pembetung selepas air di kawasan tersebut semakin ba­nyak untuk memastikan air tidak tercemar dan boleh digunakan penduduk untuk aktiviti harian.

Katanya lagi, air dari telaga itu sangat jernih dan rasa tawar dan turut dijadikan air minuman.

“Setiap kali musim kemarau, air di dalam telaga itu tidak pernah kering. Pernah semasa berlakunya musim kemarau sehingga empat bulan di kawasan itu, air telaga ini masih lagi penuh.

“Semasa kemarau, kawasan telaga itu seperti pesta kerana kira-kira 600 penduduk yang tinggal berhampiran mengambil air tidak kira siang dan malam. Jadi, telaga ini menjadi tempat penduduk bergantung sekiranya air di kawasan itu terputus,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Fakhrol Rozi Shaari,42, dari Kampung Bukit Sireh berkata, telaga yang tidak pernah kering itu turut dikunjungi orang luar untuk melihatnya yang turut minum dan mandi air telaga kera­na ke­segaran airnya tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI