SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan mengesahkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan di sini yang ditutup selepas kejadian seorang bayi perempuan meninggal dunia akibat terjerut pada buaian tidak mematuhi peraturan-peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.
Pengarahnya, Rosnah Sardi berkata, hasil siasatan Pegawai Pelindung dan Pegawai Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban mendapati, peraturan keselamatan yang dingkari pusat jagaan tersebut termasuklah seperti penggunaan buaian dan tiada pemadam api.
“Buaian ini kalau dengan pemantauan setiap masa tidak bahaya supaya tindakan segera boleh diambil jika berlaku apa-apa. Tetapi di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) memang tidak dibenarkan penggunaan buaian.
“Ia kerana faktor penjaga yang mempunyai anak jagaan lain yang juga perlu diberikan perhatian, jadi untuk mengelakkan perkara tidak diingini, memang di Taska buaian tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Rosnah, pusat jagaan itu tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 1984 selain tidak mematuhi peraturan mengenai pengasuh serta penjagaan kanak-kanak.
“Hasil semakan mendapati pemilik Taska ini pernah membuat pra pendaftaran bagi Taska dengan pihak PKMD Seremban di premis lain atas nama yang sama,” katanya.
Rosnah memberitahu, permohonan itu bagaimanapun tidak disokong kerana tiada kelulusan daripada salah satu agensi teknikal berkaitan keselamatan kanak-kanak.
“Taska berkenaan telah ditutup pada 1 Oktober 2020. Taska di alamat yang baharu (lokasi kejadian) sehingga kini tidak didaftarkan dan tiada dalam pemakluman pihak JKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE