fbpx

Pertukaran lawatan tingkat keakraban Malaysia, Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PHNOM PEHN- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan bahawa pertukaran lawatan antara Malaysia dan Kemboja perlu dipertingkatkan lagi melibatkan semua peringkat.

Menurut beliau, pertukaran lawatan itu akan menyumbang kepada keakraban hubungan kedua-dua pihak dan serta persahabatan yang saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.

“Pertukaran lawatan akan membuka lebih banyak peluang dalam pertumbuhan kerjasama pelbagai dimensi, misalnya dalam pembangunan sumber manusia, infrastruktur, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara tersebut dibangkitkan beliau ketika mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatnya, Samdech Techo Hun Sen hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan dengan serius berkenaan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia, dengan keputusan berkaitannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menurut Ismail Sabri, apabila sempadan antarabangsa negara dibuka nanti, Malaysia boleh meningkatkan lagi kerjasama dua hala dengan Kemboja dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuklah pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas untuk memudahkan perjalanan, dan banyak lagi inisiatif yang menyumbang kepada pemulihan pasca-pandemik Covid-19.

“Saya percaya Malaysia dan Kemboja boleh berkerjasama dalam perkara ini, termasuk menerusi ASEAN,” katanya.

Ini kerana, jelas beliau, Kemboja telah maju ke hadapan dalam usaha menangani dan memulihkan pandemik Covid-19.

“Kadar vaksinasi di negara itu adalah antara yang terbaik di rantau ini. Ini membolehkan Kemboja membuka semula sempadan antarabangsa kepada pengunjung dari luar sejak November 2021 yang lalu.

“Dalam hal ini, Malaysia juga telah mencatatkan prestasi yang amat baik. Kadar vaksinasi di Malaysia melebihi 80 peratus penduduk tempatan. Tambahan lagi, 60 peratus daripada penduduk di Malaysia telah pun mendapatkan dos penggalak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids), hampir 13 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia dari umur 5 hingga 11 tahun telah menerima dos pertama.

“Sebanyak 89.9 peratus daripada remaja dari 12 ke 17 tahun pula telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka, manakala 92.6 peratus telah terima sekurang-kurangnya satu dos,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI