PUTRAJAYA – Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan peningkatan 2.3 peratus pada Januari lalu kepada 124.9 peratus berbanding 122.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya sekaligus melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Januari 2022 atau 1.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi itu didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan (6.0 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (3.6 peratus).
“Ia diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.1 peratus), restoran dan hotel (2.1 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.2 peratus).
“Isu kenaikan harga makanan seperti sayur-sayuran, daging dan ikan yang berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu berikutan kesan langsung daripada kekurangan bekalan serta kenaikan harga makanan ternakan sekali lagi memberi tekanan kepada inflasi makanan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP dilihat terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
“Walaupun kenaikan tertinggi dicatatkan oleh daging (7.8 peratus), peningkatan subkumpulan ini adalah lebih perlahan berbanding peningkatan pada Disember tahun lalu (8.3 peratus) susulan penurunan harga ayam mentah kepada RM9.48 sekilogram Januari lalu.
“Ini diikuti oleh kenaikan sayur-sayuran (5.0 peratus); susu, keju dan telur (4.7 peratus); minyak dan lemak (4.6 peratus) dan ikan serta makanan laut (4.2 peratus),” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, makanan di luar rumah turut meningkat 3.1 peratus antaranya adalah masakan berasaskan daging (6.3 peratus), masakan berasaskan sayuran (4.7 peratus), nasi berlauk (4.5 peratus) dan sate (3.9 peratus).
Mohd. Uzir berkata, kumpulan pengangkutan mencatatkan peningkatan 6.0 peratus berikutan kesan asas yang lebih rendah disebabkan oleh penetapan harga siling RON95 pada Mac 2021 (RM2.05) dan masih tinggi berbanding harga purata RM1.87 seliter pada Januari 2021.
“Tambahan pula, harga purata RON97 turut meningkat kepada RM3.06 seliter berbanding RM2.17 seliter pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.3 peratus berbanding Disember tahun lalu disumbangkan oleh peningkatan restoran dan hotel (1.0 peratus) perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.6 peratus) dan hiasan, perkakasan juga penyelenggaraan isi rumah (0.6% peratus).
“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang Januari lalu bagaimanapun telah meredakan inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol daripada terus melonjak tinggi berbanding Disember 2021 (1.0 peratus).
“IHP di lima negeri pula menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.3 peratus di mana Selangor dan Putrajaya direkodkan paling tinggi (2.9 peratus) manakala Sabah dan Labuan (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.8 peratus) dan Kuala Lumpur (1.8 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah,” katanya.
Ujar beliau, kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya (4.9 peratus) diikuti oleh Johor (4.0 peratus) dan Perak (3.6 peratus).
“Peningkatan yang berlaku adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan di luar rumah pada Januari lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya manakala negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi iaitu 3.6 peratus dalam tempoh sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE