IPOH – Kehilangan suami tercinta dan anak lelaki sulung dalam tempoh tiga bulan, memberi kesan cukup mendalam kepada balu Tan Sri Harussani Zakaria, Allahyarham Puan Seri Ainon Abdul Ghani.
Anak bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 45, memberitahu, meskipun ibunya tidak pernah menyuarakan perasaannya, namun dia dan dua kakaknya cukup memahami apa yang ditanggung wanita itu.
“Ibu bukan seorang yang suka mengadu, tapi kami dapat lihat dia dalam keadaan kesunyian. Banyak kali dia cakap nampak abah di luar rumah, abah baru masuk (rumah) dan juga bertanya abah sudah siap ke.
“Dari situ kami tahu dia rindu dan sangat-sangat teringat kepada arwah abah, begitu juga dengan abang sulung.
“Saya rasa semua yang bergelar ibu faham betapa rapatnya anak sulung dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Wafi, kesihatan ibunya juga merosot selepas kematian bapa dan abangnya meskipun sebelum ini semakin pulih daripada kanser paru-paru tahap empat.
Katanya, arwah ibunya yang merupakan seorang yang kuat semangat semasa menentang kanser mungkin kehilangan semangat itu selepas kematian dua insan tersayang.
“Dia tidak mengadu, tapi kita tahu dari cara bercakap dan suara, dia sangat rindu. Mungkin itu sebab semangatnya kurang, kehilangan yang tidak boleh diluahkan melalui perkataan.
“Sejak dua bulan lalu keadaan kesihatan arwah juga merosot, dia hanya terlantar dan tidak boleh telan makanan sebaliknya hanya salurkan makanan melalui tiub.
“Malah dua hari lepas arwah demam dengan tekanan darah dan paras oksigen menurun sebelum kami bawa ke hospital namun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.50 petang,” katanya.
Tambah beliau, meskipun sedih dengan kematian bapa, ibu dan abang dalam tempoh kurang setahun, dia dan adik-beradik lain reda dengan ketentuan Allah. – KOSMO! ONLINE