SUNGAI PETANI – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bapa tirinya berusia 72 tahun di sebuah rumah di Kampung Ruat dalam daerah Yan dekat sini pada 15 Februari lalu.
Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md. Rodzi, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nadhirah Abdul Halim.
Mohamad Farol yang bekerja kampung hadir pada prosiding itu dengan memakai jaket dan berkain pelekat.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Nordin Ahmad di sebuah rumah di Jalan Masjid, Kampung Ruat kira-kira pukul 7 pagi, 15 Februari lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE