SHAH ALAM – Seorang Pembantu Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras yang dilepas dan dibebaskan dari tuduhan rasuah dua tahun lalu didenda RM2.34juta dan penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman memutuskan demikian apabila mendapati terdapat elemen-elemen pertuduhan yang berjaya dibuktikan terhadap tertuduh, Ibrahim Mat Amin, 62.
Abd. Halim dalam penghakimannya menjelaskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memutuskan keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan pilihan menerima rasuah hampir RM500,000, berhubung kuota beras SST, tujuh tahun lalu.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.
“Tertuduh juga telah gagal untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 akta yang sama,” katanya.
Berdasarkan rekod, Ibrahim dilepas dan dibebaskan pada 9 Julai 2020 apabila Mahkamah Sesyen memutuskan selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon rayuan bagi keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.
Mengikut keputusan hari ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM300,000 bagi pertuduhan pertama. Gagal bayar, boleh dikenakan penjara enam bulan.
Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, dia dipenjara masing-masing tiga tahun dan denda RM1.02 juta dan jika gagal bayar dikenakan 10 dan 18 bulan penjara.
Kesemua hukuman penjara itu diarah dijalankan serentak bermula hari ini. -KOSMO! ONLINE