LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menganggap keputusan untuk tidak meletakkan penyerang utama, Romelu Lukaku dalam kesebelasan utama pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Lille adalah keputusan yang tepat.
Pada aksi di Stamford Bridge itu, The Blues selaku juara bertahan tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan 2-0 hasil ledakan Kai Harvertz dan Christian Pulisic sekali gus meletakkan sebelah kaki ke peringkat suku akhir.
Kata Tuchel, berdasarkan prestasi Lukaku pamerkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace yang lepas membuatkan beliau meletakkan kepercayaan kepada Harvertz untuk mengemudi jentera serangan kali ini.
“Saya percaya keputusan untuk merehatkan Lukaku adalah langkah yang tepat kerana dia gagal memberikan fokus yang diharapkan pada aksi yang lepas dan mungkin situasi tersebut disebabkan kepenatan.
“Namun, saya tidak mahu tumpuan terarah kepadanya semata-mata kerana ada sembilan lagi pemain dalam skuad utama tidak dapat beraksi kali ini dan mungkin peluang akan diberikan kepada mereka pada aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, pengendali kelahiran Jerman itu turut memuji impak yang dipamerkan oleh Harvertz yang berjaya membantu pasukan mencorakkan serangan lebih agresif sehingga memberi kesukaran terhadap benteng skuad lawan menerusi variasi corak permainan.
“Harvertz telah kembali mendapatkan momentum serta keyakinannya sejak beberapa minggu lepas dan dia membuktikan sekali lagi kenapa dia menjadi watak penting buat kami khususnya untuk perlawanan berskala besar seperti ini,” katanya. – AGENSI