LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui yakin bahawa pasukannya mampu menewaskan Wolvehampton Wanderers buat kali kedua pada aksi yang berlangsung di Emirates awal pagi esok.
Arsenal akan menanti kunjungan Wolves di Emirates kali ini untuk aksi yang tertunda sebelum ini ketika mereka juga berjaya menjinakkan skuad kendalian Bruno Lage pada aksi di Stadium Molineux 11 Februari lalu.
Menurut Arteta, dua kemenangan berturut-turut menewaskan Wolves dan Brentford membakar semangat para pemainnya untuk mencatat satu lagi kejayaan sekali gus mencerahkan peluang pasukannya beraksi di pentas Eropah.
Ketika ini, Wolves berada di kedudukan ketujuh apabila kekurangan dua mata berbanding Arsenal dan West Ham United yang berada pada posisi keenam dan kelima dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kelompok tiga tempat teratas yang dikuasai Manchester City, Liverpool dan Chelsea bagaikan sudah sukar untuk dicabar, namun slot terakhir ke saingan Liga Juara-Juara yang kini dimiliki Manchester United masih terbuka untuk semua pasukan selain dua lagi slot ke Liga Europa termasuk aksi playoff.
“Kami semakin menghampiri kedudukan itu selepas meraih kemenangan ke atas Brentford dan itu yang kami mahukan. Kami akan beraksi menentang Wolves sekali lagi dan cuba memenanginya.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami perlu turun dengan aksi paling baik dan itu menjadi sasaran kami,” katanya.
Sejak memasuki tahun baharu, Arsenal hanya tewas dalam satu perlawanan ketika tunduk 1-2 kepada Manchester City.
“Kami mahu memenangi setiap perlawanan. Kami sedar bahawa kami tidak boleh melihat terlalu jauh. Setiap perkara berubah dengan pantas dan tidak mudah memenangi perlawanan. Kami akan membuat persiapan dan cuba meraih kejayaan itu,” jelasnya. – AGENSI