KOTA TINGGI – Penduduk di dua buah kampung Orang Asli di sini gusar selepas mendakwa berlaku pencemaran bau dipercayai berpunca aktiviti pembuangan sisa terlarang di kawasan lombong terbiar kira-kira tiga kilometer dari kediaman mereka.
Ketua Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff berkata, perkara itu dikesan berlaku sejak tiga bulan lalu dan dikhuatiri akan memberi kesan kesihatan kepada penduduk.
“Bau ini tidak sentiasa ada, kadang-kadang kuat ada masa tiada, namun kekerapannya pada waktu malam. Bila waktu hujan berhenti angin pula datang baunya lagi bertambah kuat.
“Saya juga ada adukan perkara ini kepada pihak polis. Saya hubungi balai polis dan mereka hadir ke lombong tersebut untuk pantau.
“Kita bimbang jika bau yang tidak selesa ini memberi kesan buruk kepada penduduk, tambahan pula ketika kita sedang berdepan Covid-19 sekarang,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Bagi Ketua Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Tok Batin Majid Jantan berkata, meskipun kediaman penduduk terletak tiga kilometer dari lombong berkenaan, namun kesan bau tidak enak itu menyebabkan penduduk mengalami sakit tekak dan susah bernafas.
“Seperti saya sendiri yang bekerja sebagai penoreh getah bila jadi seperti ini saya tidak dapat keluar sangat kerana kesannya menyebabkan batuk tidak berhenti.
“Hendak tidur pun tidak lena kerana baunya yang kuat. Sehinggakan jika ada orang luar yang datang ke kampung ini, mereka sendiri tidak tahan dengan bau tersebut.
“Nelayan juga sangat terkesan kerana baunya sampai ke kawasan sungai, mujur sahaja ia tidak berlaku di sungai yang merupakan tempat mereka mencari rezeki,” katanya.
Jelasnya, ada penduduk mendakwa melihat lori yang membawa muatan disyaki bahan buangan terlarang yang menjadi punca bau tidak selesa itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 12, Hassan Rasid berkata, pihaknya akan mengajukan perkara itu kepada pihak berkenaan.
“Kita minta pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan sebelum berlaku perkara yang lebih teruk termasuklah kemungkinan mencemarkan sungai berhampiran yang mana lebih merisikokan penduduk Orang Asli di kedua buah kampung ini,” tambahnya.