SHAH ALAM – Mangsa banjir yang merasakan permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) mereka tercicir boleh mengemukakan aduan bersama gambar borang yang telah lengkap cop pengesahan.
Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, pihaknya mengakui terdapat permohonan tercicir namun tidak banyak dan telah menyelesaikan sebaik menerima aduan permohonan.
“Kita ada minta pemohon untuk ambil gambar borang permohonan mereka yang telah mempunyai cop (pengesahan seperti ketua kampung ).
“Jadi, kalau merasakan permohonan tercicir, boleh mengemukakan perkara tersebut supaya kami boleh semakan atau buat permohonan baharu untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, Seksyen 32, di sini.
Jelas Mohd. Faizal, hampir 14,000 mangsa banjir akan menerima dua bantuan berkenaan di empat lokasi lain di sekitar daerah Klang, hari ini.
Tambahnya, beliau optimis semua mangsa banjir di pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang akan menerima dua bantuan ini selewat-lewatnya hari Jumaat ini.
“Kita juga bercadang untuk membuka satu kaunter khas di PDT Klang pada hujung minggu ini bagi memberikan peluang kepada mangsa banjir yang tidak dapat hadir pada waktu temujanji ditetapkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Faizal menasihatkan penerima bantuan supaya tidak perlu hadir terlalu awal ke pusat pengagihan bantuan sebaliknya mengikut waktu temujanji telah diberikan oleh pihaknya. -KOSMO! ONLINE.