KUALA NERANG – Peraih getah di sini mendakwa terdapat segelintir penoreh bertindak licik apabila mencampurkan sekerap dengan bahan lain seperti bateri dan batu untuk memberatkan timbangan sekali gus menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit.
Cubaan menipu lebih serius apabila penoreh menjadi tamak untuk mendapatkan wang ketika harga getah sekerap merudum. Harga getah ketika ini berada pada paras RM3.50 sekilogram sejak November tahun lalu.
Penipuan menjadi-jadi apabila penoreh tidak dapat hasil yang banyak pada musim hujan.
Difahamkan, getah sekerap itu diperoleh daripada kawasan ladang dengan pokok berusia lebih 20 tahun dan menunggu masa untuk ditebang.
Seorang peraih dari Kampung Barokhas di sini, Syed Ibrahim Syed Omar, 58, berkata, peraih terpaksa menanggung kerugian apabila getah sekerap tersebut ditolak pengilang.
“Masalah ini sudah lama berlaku menyebabkan kami terpaksa berhati-hati dengan memeriksa secara teliti semasa menerimanya supaya tidak rugi.
“Peraih pernah kerugian antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap trip lori membawa getah sekerap ke kilang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Syed Ibrahim, dia pernah menemui bahan asing yang dimasukkan di dalam getah sekerap seperti batu, bateri, kayu, tali, kulit pokok, pemetik api, tayar dan tanah.
Tambahnya, sebelum ini penipuan banyak dilakukan oleh penoreh warga asing di daerah ini dan telah berkurangan, namun kini ia merebak pula kepada segelintir penoreh tempatan.
“Cara untuk mengesan penipuan ialah apabila kita mendapati getah sekerap akan berubah warna daripada putih kepada keungguan atau kehitaman apabila dicampur dengan benda asing.
“Selain itu, lantunannya juga akan berbeza dengan sekerap asli. Sebab itu peraih akan memotong getah sekerap untuk diperiksa sama ada terdapat bahan lain atau tidak,” katanya.
Ujar Syed Ibrahim, mereka akan membeli getah sekerap yang dicampur itu pada harga lebih murah daripada ditetapkan Lembaga Getah Malaysia atau menolak secara keseluruhannya.
Sementara itu, seorang lagi peraih, Abu Bakar Saud, 68, dari Kampung Lubuk Perung, Naka dekat sini pula berkata, dia terpaksa membeli getah sekerap daripada pelanggannya dengan menggunakan raga supaya mudah dilihat.
Katanya, sebelum ini mereka menerima getah sekerap yang dimasukkan ke dalam guni daripada penoreh dan ia menyebabkan mereka terpedaya.
“Selepas kita menggunakan teknik itu, masalah penipuan semakin berkurangan,” katanya.
Bagaimanapun, tiada sebarang laporan polis dibuat mengenai penipuan tersebut kerana sukar mengesan si pelaku dan lebih kepada memberi nasihat.