fbpx

Hanya 9 peratus plastik dunia dikitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NELAYAN menangkap ikan di perairan dicemari sampah plastik di Bandar Lampung pada 21 Februari lalu. - AFP

PARIS – Kurang 10 peratus daripada plastik yang digunakan di seluruh dunia telah dikitar semula, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam laporannya kelmarin.

Justeru, OECD menyeru  ke arah ‘penyelesaian yang diselaraskan dan secara global’ menjelang rundingan mengenai perjanjian plastik antarabangsa pada 28 Februari ini di Nairobi.

Laporan baharu OECD itu  mendapati penduduk dunia menggunakan 460 juta tan plastik pada 2019, meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun 2000.

Jumlah sisa plastik turut meningkat lebih  dua kali ganda sepanjang tempoh tersebut kepada 353 juta tan, demikian menurut OECD yang berpangkalan di Paris.

“Hanya sembilan peratus sisa plastik akhirnya dikitar semula, manakala 19 peratus lagi dibakar dan hampir 50 peratus pula diletakkan di tapak-tapak pelupusan sampah sanitari. 

“Baki 22 peratus lagi dilupuskan di tapak-tapak  pelupusan sampah yang tidak terkawal, dibakar di kawah terbuka atau bocor ke persekitaran,” kata agensi berkenaan dalam laporannya yang  bertajuk Global Plastics Outlook.

Pandemik Covid-19 menyaksikan penggunaan plastik menurun sebanyak 2.2 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, penggunaan plastik sekali pakai bertambah, manakala penggunaan bahan tersebut secara keseluruhan dijangka meningkat semula apabila ekonomi kembali pulih.

Plastik menyumbang 3.4 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global pada 2019 dengan  90 peratus daripadanya adalah daripada ‘proses pengeluaran dan penukaran daripada bahan api fosil’, kata laporan sama.

“Dalam menghadapi fenomena pemanasan global dan pencemaran yang berleluasa, adalah “penting untuk negara-negara  bertindak balas menangani masalah ini menerusi  penyelesaian yang diselaraskan dan global”, kata Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann dalam laporan itu.

Beliau berkata, dasar OECD  juga adalah untuk menyekat penggunaan plastik secara keseluruhan.

Justeru, menurutnya, OECD menggesa ‘pelaburan besar dalam infrastruktur pengurusan sisa asas’  termasuk peruntukan AS$28 bilion (RM104.5 bilion)  setahun bagi menggembleng usaha tersebut di negara-negara  berpendapatan rendah dan sederhana. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI