PETALING JAYA – Orang ramai menyarankan agar pihak polis menjalankan siasatan ke atas satu klip video tular sekumpulan remaja yang berkumpul secara ramai dan ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Menerusi perkongsian portal Pen Dakwat Hitam di Facebook, memaparkan kekecohan sekumpulan remaja serta rata-rata daripada mereka kelihatan tidak memakai pelitup muka dan mengabaikan penjarakan sosial yang ditetapkan dalam mengawal penyebaran jangkitan Covid-19 di negara ini.
Selain itu, kejadian tersebut dikatakan berlaku di sekitar kawasan Bukit Bintang baru-baru ini.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai memberi pelbagai reaksi terhadap tindakan segelintir golongan yang masih degil dan tidak bertanggungjawab dalam bersama-sama mengekang penularan wabak berbahaya tersebut.
“Tolong pihak polis dan pihak berwajib mengambil tindakan segera kepada sekumpulan remaja tersebut, saya yakin ramai di antara mereka masih di bawah umur,” ujar Syairul Husni.
“Buat pemantauan di kawasan awam dengan kerap terutamanya pada waktu malam agar dapat memastikan tiada individu yang berkumpul secara ramai sehingga tidak mematuhi SOP,” cadang Norhayati.
“Siasat segera mereka ini, ambil tindakan sebagai pengajaran, dan ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk ambil tahu aktiviti anak-anak terutamanya yang masih di bawah umur, kalau dah ada yang positif di situ, punca kes jangkitan makin tinggi,” luah seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE.