PETALING JAYA – Selepas pelancaran di Lembah Klang tahun lalu, ShopeeFood Malaysia memperluaskan perkhidmatannya ke Johor Bahru bermula hari ini.
Pengguna Shopee di sana boleh mula memesan makanan menerusi ShopeeFood pada aplikasi Shopee dengan penghantaran meliputi kawasan utama di Johor seperti Johor Bahru, Tampoi, Setia Tropika, Setia Indah dan Skudai.
Pelbagai jenama makanan antarabangsa dan tempatan di Johor Bahru tersedia untuk tempahan termasuk Mcdonalds, Shake Shake, Old Town, ZUS Coffee, Johnnys, Kenny Rogers, Oven & Fried Chicken, Soon Cafe, Banafee Village, Gatao Fried Chicken dan Anmour Cafe.
Ketua Pembangunan Perniagaan ShopeeFood Malaysia, Wong Chee Mun berkata, pihaknya gembira dengan sambutan menggalakkan di Lembah Klang dan ingin membawa kemudahan sama kepada pengguna Shopee di Johor Bahru.
“Kami berharap ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah menggalakkan lebih ramai peniaga makanan dan minuman untuk mendaftarkan kedai mereka ke atas talian untuk mencapai lebih ramai pelanggan, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sempena pelancaran, ShopeeFood menawarkan penghantaran percuma dan diskaun sehingga 40 peratus untuk makanan dan minuman dengan perbelanjaan minimum RM5 apabila membayar dengan ShopeePay pada aplikasi bermula 23 hingga 28 Februari.
Selain itu, dari 24 hingga 28 Februari, pengguna di Johor boleh menyertai peraduan eksklusif Order & Win, yang menawarkan produk eksklusif KitchenAid dan baucar ShopeeFood bernilai sehingga RM8,000 dengan perbelanjaan minimum RM20 untuk pesanan makanan.