NUKU’ALOFA, Tonga – Capaian Internet di Tonga berjaya dipulihkan semalam setelah lima minggu bencana letusan gunung berapi yang menyebabkan kabel dasar laut menghubungkan negara Pasifik itu dengan dunia luar terputus, lapor laman berita Wion News.
Pembekal telekomunikasi Digicel dan TCC berkata, sambungan data telah dipulihkan ke dua pulau utama Tonga selepas kabel sepanjang 80 kilometer yang putus akhirnya dibaiki.
Penduduk melaporkan bahawa perkhidmatan online kembali pulih dan e-mel masuk dengan sangat pantas selepas 38 hari mereka berada dalam kekurangan capaian. Banyak panggilan daripada keluarga di luar negara mula diterima.
“Ya! TCC sedang memulihkan perkhidmatan kabel gentian Internet,’’ kata syarikat berkenaan dalam mesej kepada pelanggan.
Letusan gunung berapi Tonga pada 15 Januari berlaku sangat kuat sehingga kedengaran sejauh Alaska dan menyebabkan berlakunya tsunami yang membanjiri pantai di sekitar rantau Pasifik.
Ia menutupi Tonga dengan abu vulkanik dan merosakkan kabel dasar laut sepanjang 80 kilometer yang lebih sukar daripada jangkaan untuk dibaiki.
Sejurus selepas bencana, hubungan dengan Tonga hanya dilakukan melalui beberapa pautan satelit. Walaupun beberapa sambungan kemudian berjaya dipulihkan, namun masih terhad.
“Sambungan data telah dipulihkan ke dua pulau utama. Kami gembira melihat pelanggan berhubung semula dengan dunia luar,’’ kata Ketua Eksekutif Digicel Tonga, Anthony Seuseu. – Agensi