KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor melibatkan pertuduhan rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, ditutup selepas Mahkamah Tinggi di sini selesai mendengar keterangan saksi pembelaan terakhir hari ini.
Perbicaraan itu ditutup selepas 42 hari perbicaraan dengan mahkamah selesai mendengar keterangan 25 saksi.
Dalam prosiding hari ini, peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas saksi keduanya, bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod selesai memberikan keterangan.
Sehubungan itu , hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pada 5 April ini untuk mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan.
Beliau turut menetapkan pada 9 Mac ini bagi pendakwaan memfailkan hujahan dan pada 23 Mac untuk pembelaan membalas hujahan itu.
“Saya akan memperuntukkan sepanjang hari (pada 5 April) untuk mendengar hujahan. Dengan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas bantuan sepanjang perbicaraan,” kata hakim itu.
Sebelum ini, perbicaraan kes itu pernah beberapa tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – KOSMO! ONLINE.