KUANTAN – Seorang kru kapal warga Rusia dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari kapal tangki yang sedang belayar dari Pasir Gudang Johor ke Pula di Croatia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang, Laksamana Pertama Kamal Ariffin Jusoh berkata, mangsa Nerkrasov Sergey,48, kali terakhir dilihat ketika kapal berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur di Mersing, Johor.
“Mangsa disedari hilang kira-kira pukul 10.30 malam semalam semasa kapal berkenaan berada pada kedudukan sekitar 1.6 batu nautika timur Tanjung Gelang.
“Sebaik menerima laporan daripada Ibu pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya Maritim Pahang telah menyalurkan maklumat kepada Maritim Johor dan aset udara Maritim Malaysia bagi mendapatkan bantuan mengesan mangsa.
Katanya, maklumat berkenaan kejadian itu turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa agensi bagi membantu dalam operasi pencarian mangsa.
Sementara itu katanya Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi-agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut mahu pun ditimpa bencana.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi pusat operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE