AMPANG JAYA – Cubaan dua lelaki mencuri arak gagal apabila ditahan polis ketika melarikan minuman keras terbabit di sebuah pasar raya sekitar Jalan Pandan Indah, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan terbabit pada pukul 4.05 pagi.
“Polis berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu ketika dikejar pekerja pasar raya yang menjerit meminta pertolongan.
“Hasil pemeriksaan polis telah merampas dua bungkusan minuman arak berharga RM78 disyaki telah dicuri di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan kelindan lori itu telah ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE