fbpx

Resipi 40 tahun mi bandung masih diminati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. TALIB menunjukkan empat jenis hidangan mi bandung di warung miliknya yang menjadi buruan penggemar makanan tersebut.

MI bandung merupakan antara sajian tradisi di Johor yang sangat popular, khususnya di daerah Muar yang terkenal dengan jolokan Bandar Maharani.

Malah, lawatan dan kunjungan ke Muar dianggap tidak lengkap jika tidak singgah untuk merasai sendiri keenakan mi bandung Muar yang sudah popular dan meniti di bibir para pemburu makanan di negara ini.

Populariti mi bandung Muar menyebabkan gerai dan restoran yang menawarkan hidangan tersebut banyak dibuka di serata pelosok daerah berkenaan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun, di sebalik puluhan gerai dan restoran yang ada, timbul pula persoalan tentang gerai yang mana satu menawarkan rasa mi bandung Muar yang asli dan menyelerakan.

Bagi pemilik Warung Barikht Razak Bandong, Ab. Talib Abdullah, 70, dia bersyukur kerana gerainya yang terletak di Parit Bunga, Muar sering kali menerima kunjungan ramai, khususnya secara berkumpulan sama ada dalam kalangan penunggang motosikal, kereta dan daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta.

“Alhamdulillah, resipi mi bandung saya ini dapat diterima ramai dan apa yang paling menyeronokkan apabila ramai memuji antara hidangan terbaik pernah mereka nikmati.

“Malah, ada pelanggan yang memberitahu, mereka akan singgah untuk menikmati hidangan mi bandung di gerai saya setiap kali berkunjung ke Muar sama ada atas urusan kerja atau bercuti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai resipi yang digunakan, Ab. Talib memberitahu, ketika mula berniaga di sebuah gerai di Stesen Bas Muar kira-kira 40 tahun lalu, dia menggunakan resipi sendiri.

Disebabkan hidangan yang dihasilkan ketika itu tidak menepati cita rasa hidangan mi bandung Muar yang sebenar, dia mengambil keputusan untuk mempelajarinya daripada seorang pakar hidangan tersebut yang juga rakannya.

Menerusi hidangan yang dipelajarinya itu, gerai mi bandung miliknya itu semakin dikunjungi ramai dan dikenali.

Ujarnya, masa mula-mula berniaga dahulu, warungnya dikenali sebagai Warung Razak Bandung.

UDANG tohe bersaiz besar jadi penarik pelanggan untuk menikmati mi bandung.

“Nama tersebut kekal walaupun saya berpindah ke beberapa tempat baharu dalam tempoh 35 tahun.

“Tetapi selepas berpindah ke lokasi sekarang iaitu di tepi rumah saya sejak tiga tahun lalu, saya terpaksa tukar nama gerai.

“Ini kerana, di sekitar sini sudah ada peniaga menggunakan nama restoran mi bandung Razak.

“Disebabkan sudah ramai yang keliru, akhirnya saya ambil keputusan untuk tukar nama gerai kepada Warung Barikht Razak Bandung,” katanya.

Dia memaklumkan, waktu operasi gerainya adalah antara pukul 3 petang hingg 12 tengah malam setiap hari dan ditutup pada hari Rabu.

Bercakap mengenai rahsia masakan mi bandung yang dihasilkan di gerainya itu, Ab. Talib memberitahu, dia masih mengekalkan kaedah pembuatan rempah secara tradisional iaitu menggunakan udang sebagai bahan utama untuk memekatkan kuah.

Selain itu, dia turut menggunakan beberapa bahan lain bagi menghasilkan rasa asli mi bandung Muar untuk dihidangkan kepada pelanggan setianya.

Katanya, dia mengelak daripada menggunakan kacang sebagai campuran seperti yang dilakukan sesetengah peniaga mi bandung lain.

Jelasnya, antara hidangan popular yang kerap dipesan pelanggan adalah mi bandung udang dan mi bandung daging, selain dua lagi iaitu mi bandung telur dan mi bandung biasa.

“Kesemua jenis mi bandung tersebut memang hidangan yang paling banyak dipesan pelanggan, sama ada untuk dimakan di gerai ataupun dibungkus.

“Sebagai pilihan kepada pelanggan, kami juga menyediakan hidangan lain seperti nasi goreng udang, mi hailam dan bihun sup, selain hidangan ala barat,” katanya.

Hidangan mi bandung itu dijual antara RM6 hingga RM20 bergantung kepada hidangan.


AB. TALIB dibantu isteri, Rossenah (kanan) dan anak lelakinya, Muham Nazar (dua dari kanan) dalam menyediakan hidangan mi bandung kepada pelanggan setiap hari.

Menurut Ab. Talib, bagi memberi kepuasan kepada pelanggan, dia hanya menggunakan udang tohe segar atau turut dikenali dengan gelaran udang pengantin kerana saiznya yang besar dan isinya enak.

Malah, jelasnya lagi, bagi memastikan keenakan rasa kuah mi bandung kekal asli, dia akan menyediakan hidangan tersebut selepas dipesan pelanggan dan bukannya menyediakan di dalam periuk besar seperti dilakukan sesetengah peniaga.

“Kalau diikutkan, memang tukang masak akan kepenatan kerana terpaksa memasak berulang kali setiap kali pelanggan memesan hidangan mi bandung.

“Sebab itulah, saya menyediakan rempah kuah terlebih awal dan tukang masak hanya memerlukan masa yang lebih singkat untuk mengadunkan di dalam kuali tersebut sebelum dihidangkan kepada pelanggan panas-panas.

“Tetapi itulah cara yang paling terbaik untuk kemastikan hidangan tersebut segar dan rasa aslinya kekal,” ujarnya lagi.

Menurut Ab. Talib, dalam perniagaan mi bandung tersebut, dia turut dibantu isteri, Rossenah Omar, 61, dan anak lelakinya, Muham Nazar, 38.

Tambahnya, dia turut menjual pes rempah mi bandung pada kadar RM15 bagi sekilogram.

“Ia selepas ramai pelanggan kerap meminta untuk membelinya untuk dimasak dan dihidangkan di rumah mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI