fbpx

Keberanian meluncur air ketika tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA pemuda kelihatan beraksi luncur air di Cherating, Pahang baru-baru ini.–SHAIKH MOHD. RAZIF

CUACA buruk atau ombak besar pada musim tengkujuh yang masih berlangsung pada masa ini lazimnya memberikan ketakutan kepada para nelayan kecil dan orang ramai, namun bagi penggemar aktiviti surfing atau luncur air di negara ini ia satu rahmat yang sangat dinanti-nantikan.

Angin kencang pada musim tengkujuh itu menyebabkan terjadinya ombak besar melebihi dua meter pada 26 hingga 28 Februari terutamanya di pusat peranginan, Cherating.

Cherating merupakan salah satu lokasi terbaik di negara ini bagi sukan luncur air memandangkan ombaknya yang tinggi dan konsisten.

Tegasnya, kawasan tersebut sangat sesuai untuk aktiviti luncur air terutamanya pada musim Monsun Timur Laut iaitu sekitar bulan November hingga awal Mac setiap tahun.
——————————————————————————————————————————————————-
KESIBUKAN tugas harian sebagai konsultan hartanah bukan penghalang buat seorang pemuda, Abdullah Zahid Muhammad untuk memantau ramalan kaji cuaca dari semasa ke semasa menerusi sebuah laman web profesional.

Hasil pemantauan Abdullah Zahid, 34, angin kencang di kawasan pantai sekitar Balok, Pahang diramalkan berlaku pada hujung minggu ini.

Angin kencang tersebut dijangka menyebabkan terjadinya ombak besar melebihi dua meter pada 26 hingga 28 Februari terutamanya di pusat peranginan, Cherating.

Angin kencang berkenaan dianggap berbahaya kepada nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot-bot kecil.

Hal ini memandangkan kawasan di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia sedang mengalami musim tengkujuh yang membawa angin kencang serta hujan lebat.

Walaupun keadaan tersebut dianggap buruk bagi sesetengah orang, namun ia merupakan satu rahmat yang sangat dinanti-nantikan oleh Abdullah Zahid.

SALAH satu sesi kelas yang dilaksanakan oleh pihak Cheratingpoint.–CHERATINGPOINT

Sepanjang dua hari tersebut, pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu berhajat untuk berkampung di Cherating bagi membolehkannya menikmati ombak terbaik ketika meluncur air.

“Kalau di rumah, saya selalu pantau keadaan cuaca dan angin di Cherating menerusi laman web, Surf-forecast.com. Saya dapati hujung minggu ini angin di situ agak kuat, jadi saya akan ke sana esok.

“Ombak dijangka melebihi paras dada, ia merupakan detik terbaik buat pemain luncur air seperti saya beraksi,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Luncur air atau surfing merupakan aktiviti meluncur secara berdiri menggunakan papan khas di permukaan air berombak terutamanya tepi pantai.

Sukan air tersebut mula popular di negara ini sekitar tahun 1990-an terutamanya di pantai sekitar Cherating, selainTerengganu, Johor dan Sabah.

Menurut Abdullah Zahid, Cherating merupakan salah satu lokasi terbaik di negara ini bagi sukan luncur air memandangkan ombaknya yang tinggi dan konsisten.

Tegasnya, kawasan tersebut sangat sesuai untuk aktiviti luncur air terutamanya pada musim Monsun Timur Laut iaitu sekitar bulan November hingga awal Mac setiap tahun.

“Air paling cantik di sini adalah ketika surut iaitu sekitar pukul 7 pagi hingga 11 pagi dan 5 petang hingga 7 malam. Waktu tengah hari pula, air pasang dan angin terlalu kencang.

“Satu lagi yang menarik, di Cherating, ia mempunyai satu sahaja lokasi point break lantas membolehkan seseorang peluncur beraksi sejauh 400 meter sebelum ombak pecah,” katanya.

Abdullah Zahid memaklumkan, salah satu kepuasan bermain sukan berkenaan adalah cetusan adrenalin sewaktu meluncur pada kelajuan tinggi di permukaan ombak yang tinggi.

ABDULLAH ZAHID meraih kepuasan tersendiri melalui aktiviti luncur air.

Ujarnya, luncur air juga telah mendekatkan dirinya dengan alam semula jadi terutamanya berkaitan arus laut, ketinggian ombak dan kekuatan angin.

“Luncur air ini berbeza dengan papan selaju. Ia dilakukan di kawasan pantai berombak sekali gus membolehkan saya lebih dekat dan sayang dengan alam sekitar.

“Di sini juga tempat saya menghilangkan segala tekanan dan berkenalan dengan lebih ramai orang. Ia bukan sekadar meluncur, sebenarnya lebih daripada itu,” terangnya lagi.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam arena tersebut, Abdullah Zahid berkata, dia meminati aktiviti luncur air sejak zaman remaja lagi disebabkan pengaruh filem dan drama dari Barat.

Katanya, minat tersebut hanya dipendam sahaja kerana beranggapan tiada tempat sesuai melakukan aktiviti luncur air di negara ini.

Sehinggalah pada tahun 2020 apabila dia mengetahui bahawa Cherating merupakan salah satu tempat tumpuan penggemar sukan luncur air dari dalam dan luar negara selama ini.

Rentetan itu, dia telah berhabis sebanyak RM3,000 untuk membeli papan luncur air dari luar negara serta ribuan ringgit lagi untuk kos penginapan dan makan di Cherating.

“Ketika itu, negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya mengambil keputusan untuk tinggal di Cherating selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh itu, saya belajar dan berlatih meluncur air di sini sehingga berjaya menguasai hampir keseluruhan teknik dengan baik,” ceritanya.


DALAM pembelajaran, peserta didedahkan dengan cara mengimbangi badan di atas papan luncur.–CHERATINGPOINT

Abdullah Zahid memaklumkan, meluncur air bukanlah semudah yang dibayangkan oleh masyarakat kerana seseorang itu perlu melalui pelbagai proses pembelajaran.

Tegasnya, seseorang peluncur itu perlu memahirkan diri dengan beberapa teknik asas sebelum boleh meluncur di kawasan berombak tinggi serta berisiko.

“Kalau peluncur baharu, mereka perlu belajar dulu di kawasan ombak kecil. Mereka perlu mahirkan diri dengan belajar teknik asas daripada jurulatih bertauliah.

“Antara teknik yang perlu dikuasai adalah paddle, transisi, mengimbangi tubuh serta cut in dan off pada permukaan ombak. Mereka juga perlu mengenal pasti jenis ombak.

“Bagi saya, cabaran utama adalah sewaktu hendak paddle (berenang di atas papan luncur) kerana memerlukan teknik khas dan tenaga yang banyak,” ujarnya.

Luncur air dianggap sebagai sukan ekstrem kerana boleh mengundang bahaya sekiranya gagal menitikberatkan aspek keselamatan.

Lelaki bertubuh tinggi lampai itu menjelaskan, seseorang peluncur sama ada baharu atau lama perlu tahu perkara yang tidak boleh dilakukan sewaktu meluncur di pantai terbuka.

“Kalau ada satu point break sahaja seperti di Cherating ini, hanya seorang peluncur dibenarkan beraksi menggunakan papan luncur panjang pada setiap ombak.

“Kalau lebih daripada seorang, ia amat berisiko.

“Ia boleh mengundang kecederaan apabila terjatuh. Saya sendiri pernah tercedera pada hidung akibat terkena sayap papan luncur rakan,” kongsinya.

Sementara itu, salah seorang pelopor sukan luncur air di Cherating, Mohammad Zairil Akhmal Zainal, 46, berkata, minat masyarakat terdapat sukan berkenaan semakin bercambah.

Dia yang juga pemilik kelas luncur air, Cheratingpoint berkata, setiap tahun pasti ada sahaja peluncur baharu yang datang ke Cherating untuk belajar.

“Saya sudah buka kelas ini hampir 15 tahun. Hasil pengamatan dilakukan, saya dapati semakin ramai peluncur tempatan datang ke sini untuk belajar.

“Ini menunjukkan bahawa sukan ini semakin mendapat tempat meskipun tahap ombak di Malaysia tidak sebagus lokasi lain seperti Bali dan Lombok (Indonesia),” terangnya.

Lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, Cheratingpoint mempunyai seramai 10 orang jurulatih bertauliah dalam bidang luncur air.


ABDULLAH ZAHID membersihkan papan luncurnya sebelum beraksi.

Terangnya lagi, pihaknya turut menawarkan 60 buah papan luncur untuk disewa kepada peserta yang baru pertama kali ingin mencubanya.

“Dengan harga serendah RM140, seseorang itu sudah boleh masuk kelas meluncur air kami dengan menggunakan kemudahan papan luncur disediakan di sini.

“Setiap sesi kelas berlangsung selama setengah hari sahaja. Untuk seseorang itu betul-betul mahir, ia memerlukan lebih daripada satu sesi dan bergantung kepada tahap kecergasan.

“Selain mengajar asas meluncur, para peserta juga didedahkan dengan aspek penjagaan alam sekitar.
“Kami tidak mahu mereka datang ke sini mengotorkan pantai ini,” tambahnya lagi.

Untuk makluman, Cheratingpoint hanya membuka kelas meluncur air sepanjang musim tengkujuh iaitu dari November hingga Mac setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI