fbpx

APMM tahan 15 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian nelayan Vietnam ditahan reman di pusat tahanan sementara APMM di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. FOTO: IHSAN APMM

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menahan dua buah bot yang dinaiki 15 nelayan Vietnam selepas didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan di lokasi 95.7 kilometer dan 97.8 kilometer dari Kuala Tok Bali, di sini kelmarin.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan menangkap ikan secara haram dengan menceroboh perairan negeri ini kira-kira pukul 5.40 petang semasa APMM melaksanakan Ops Naga Barat dan Ops Naga Laut.

Menurutnya, kedua-dua bot itu cuba meloloskan diri, namun bot pertama yang dinaiki 11 orang awak-awak dan seorang tekong berjaya ditahan pada pukul 6.10 petang manakala bot kedua ditahan dalam tempoh 25 minit kemudian.

“Bot kedua dinaiki dua awak-awak dan tekong telah bersembunyi di bilik enjin dengan membiarkan bot bergerak tanpa kawalan.

“Berdasarkan pemeriksaan, 15 nelayan asing itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 65 tahun gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, ikan seberat 300 kilogram, 50 kilogram sotong kering dan 6,000 liter diesel yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3 juta.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.

Ujarnya, tempoh mengiringi kedua-dua bot itu ke Jeti APMM, Tok Bali di sini mengambil masa hampir 13 jam berikutan sistem enjin yang disengaja dirosakkan oleh kedua-dua tekong bot sebelum ditahan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI