KUALA LUMPUR – Seorang pengarah sebuah syarikat direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung suapan RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Fared Abdul Latif terhadap suspek yang berusia 63 tahun bermula hari ini selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semalam Kosmo! melaporkan seorang pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM kerana disyaki memberi suapan berjumlah RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan KTMB.
Menurut sumber, suapan tersebut dipercayai diberikan suspek kepada pegawai dan kakitangan terlibat bagi membantu syarikatnya mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.
Kes itu dipercayai berlaku pada 2016 dan 2017 dan pihak SPRM masih menyiasat jumlah individu yang menerima rasuah tersebut.
Tambahnya, setakat ini SPRM telah menggeledah pejabat dan rumah suspek.
Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE