fbpx

Jemaah lengkap vaksin, dos penggalak sahaja boleh solat Jumaat di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi dan dos penggalak sahaja dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ini susulan penularan pandemik Covid-19 khususnya di Selangor yang mencatatkan sebanyak 7,166 kes atau 24.9 peratus daripada 28,734 kes keseluruhannya di negara ini yang dilaporkan pada Ahad lalu.

Katanya, perkara itu juga mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan perlu mempertingkatkan penguatkuasaan, usaha dan tindakan bagi mengelakkan berlakunya situasi lebih buruk dan menjejaskan aktiviti di masjid, surau serta mussolla.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin berkenan mengekalkan ketetapan solat jumaat dan solat fardhu lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 20 Januari lalu mengenai ketetapan baru pelaksanaan solat Jumaat dengan kapasiti penuh serta penjarakan fizikal satu meter antara jemaah di semua masjid, surau kebenaran solat Jumaat di Selangor.

“Pentadbir (masjid dan surau) hendaklah mengesahkan status vaksinasi jemaah melalui data yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kepada jemaah untuk membuktikan, mengemukakan dan menunjukkan status vaksinasi masing-masing kepada pentadbir masjid, surau dan musolla,” katanya menerusi surat pekeliling dikeluarkan pada Isnin lalu.

Menurut beliau, penandaan kedudukan jemaah juga harus dipastikan dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal satu meter.

Ujar Mohd. Shahzihan, jemaah juga dipastikan membawa dan menggunakan sejadah bersaiz standard dan kekal memakai pelitup mulut dan hidung (face mask) sepanjang berada di ruang solat.

“Vantilasi perlu berlaku di ruang solat berhawa dingin dengan membuka sebahagian pintu dewan solat utama masjid, surau atau musolla bagi memastikan tidak berlaku kitaran peredaran udara tepu yang memungkinkan penularan lebih mudah berlaku.

“Selain itu, memastikan sanitasi dibuat secara berjadual atau berkala, khususnya sebelum atau selepas solat jumaat atau majlis yang melibatkan penyertaan jemaah yang ramai,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI