fbpx

Sabitan kes liwat, Anwar gagal kembalikan saman pemula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk mengembalikan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia berhubung sabitan kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian selepas mendapati, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak terkhilaf apabila menolak saman pemula tersebut.

Ketika membacakan penghakimannya, hakim Abu Bakar berkata keputusan yang diberikan oleh mahkamah-mahkamah ini dibuat oleh hakim-hakim secara bebas tanpa dipengaruhi atau pengetahun mengenai pembayaran tersebut.

Tambah hakim itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul apabila membatalkan saman pemula tersebut.

Menurut saman pemula yang difailkan Anwar pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, beliau mendakwa tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat ekoran Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik menjadi ketua pendakwaan di peringkat Mahkamah Rayuan telah menerima bayaran RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula Anwar untuk mengetepikan sabitan terhadap kes liwat kedua atas alasan beliau tidak mengemukakan bukti dalam afidavitnya bagi menyokong dakwaan Muhammad Shafee menerima wang RM9.5 juta daripada Najib.

Hakim Datuk Azizah Nawawi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ketika itu membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut selepas berpuas hati ia tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd. Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI