SHAH ALAM – Tindakan seorang penunggang motosikal tidak menggunakan lorong khasnya mengundang padah apabila maut selepas terjatuh melanggar sebuah kereta sebelum mangsa dilanggar kenderaan lain di Kilometer 15.7 Lebuh Raya Persekutuan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150 dari Kuala Lumpur menghala Klang tidak melalui lorong motosikal telah terlanggar bahagian kiri belakang sebuah kereta jenis Proton Iriz yang mengelak kenderaan hadapannya brek mengejut.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut terjatuh dan dilanggar sebuah kereta jenis Honda City yang datang dari arah belakang.
“Impak juga menyebabkan Honda City itu terbabas dan melanggar dua lagi kereta lain masing-masing jenis Mercedes dan Toyota Vios yang berada di hadapan.
“Toyota Vios yang dilanggar itu tertolak ke hadapan dan melanggar bahagian sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, penunggang motosikal yang cedera itu dibawa ke HTAR dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Manakala kelima-lima pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Justeru, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak ditalian 019-4475767,” katanya. -KOSMO! ONLINE