KEKECEWAAN yang dihadapi pada Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) B-23 kali ini memberi gambaran jelas buat pengendali negara, Brad Maloney untuk menggandakan lagi usaha sebelum menghadapi tugasan lebih getir pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
Kelmarin, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tewas 2-0 kepada Laos, kekalahan kedua yang dialami kepada lawan sama selepas turut kecundang 2-1 pada perhitungan pertama, Jumaat lalu sekali gus terpaksa pulang awal.
Dengan apa yang dihadapi pada kempen kali ini, Maloney pastinya dihimpit perasaan bercampur baur, namun daripada aspek positif, jurulatih itu mula dapat melihat bayangan awal kualiti pemain baharu yang diberi peluang.
“Dari segi keputusan akhir, ia agak mengecewakan kerana kami perlu menang untuk layak kerana itulah (kemenangan) yang kita sasarkan sebelum ia bermula. Kami ada beberapa peluang, tetapi gagal menjaringkan gol.
“Tetapi saya yakin, pemain sudah berikan apa yang mereka ada dan saya perlu beri kredit atas usaha mereka lakukan. Namun, ada perkara positif yang kita dapat ambil daripada kejohanan kali ini.
“Kami ada enam atau tujuh pemain yang melakukan debut di pentas antarabangsa. Apa pun, untuk melangkah lebih ke depan, kami perlu bekerja lebih keras lagi dalam beberapa aspek,” katanya pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.
Sebelum sepak mula aksi Kumpulan B, ramai peminat tempatan menjangkakan skuad negara bakal melalui perjalanan lebih mudah memandangkan Laos menjadi satu-satunya lawan pernah ditewaskan pada kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober lalu.
Bagaimanapun, Maloney enggan menyalahkan peminat jika ada yang mula menghamburkan kritikan atas pencapaian skuad negara di Kemboja kali ini.
“Sejak awal, objektifnya adalah untuk perbanyakkan bakat bagi peringkat umur ini dan di sini kita dapat lihat ramai muka baharu melakukan debut.
“Ada beberapa pemain yang pamer persembahan terbaik di dalam dan luar padang, namun peluang ini juga dapat tingkatkan pengalaman pemain di pentas antarabangsa.
“Peminat berhak untuk melihat kejayaan dan mahu pemain terbaik dibawa ke kejohanan antarabangsa. Inilah sebahagian daripada proses untuk tingkatkan bakat baharu,” katanya.