PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menandatangani perjanjian bersama Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) untuk menubuhkan Program Sukuk Wakalah Lestari bernilai RM5 bilion.
Perjanjian tersebut bakal membangunkan program sukuk pertama seumpamanya yang diterbitkan oleh sebuah bank Islam dan telah diberi penarafan awal A+ oleh Malaysia Rating Corporation Berhad.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, program berkenaan penting untuk memposisikan kedudukan bank dalam ruang kelestarian dan selari dengan tema industri perbankan semasa.
“Ia membolehkan MBSB Bank terus memperkembangkan aset kelestariannya termasuk memberikan pembiayaan dalam projek hijau, kediaman mampu milik, kesihatan awam, pendidikan, perusahaan kecil dan sederhana serta segmen yang kurang mendapat pembiayaan.
“Penerbitan trance pertama dijangka pada April ini, melibatkan nilai antara RM300 juta hingga RM500 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian di sini semalam.
Maybank IB bertindak selaku penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama tunggal dan penasihat penstrukturan kelestarian tunggal.
Maybank Islamic pula adalah penasihat syariah untuk program sukuk berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Datuk Fad’l Mohamed berkata, program sukuk berkaitan kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka terus mendapat tempat tahun ini.
Terangnya, sehingga Februari ini, terbitan bernilai hampir RM3 bilion dijadualkan bakal memasuki pasaran.
“Untuk tahun 2021, terbitan berjumlah RM8.4 bilion telah memasuki pasaran, mewakili 7.6 peratus daripada keseluruhan terbitan tahun lalu,” ujar beliau.