PETALING JAYA – The Laureate League (TLL) melancarkan platform perdagangan NFT yang dikenali sebagai Nidav atau nama penuhnya Nidavellir hari ini.
Nidav menyasarkan untuk menjadi tempat bagi para artis, pemuzik serta orang ramai yang mempunyai minda kreatif untuk mempromosikan, menerbitkan dan juga menyediakan NFT tersendiri untuk dijual secara maya kepada khalayak ramai.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TLL, Nidav ialah platform NFT yang terbuka kepada semua pereka, pencipta, pengumpul dan pelabur aset sama ada digital atau fizikal.
Katanya, Nidav mempunyai keunikan yang tersendiri bagi pasaran platform NFT.
“Ini adalah kerana ia mempunyai penjenamaan yang signifikan dan kelebihan daya saing yang dipacu oleh TLL serta menerima sokongan The BrandLaureate dengan jenama globalnya yang besar,” katanya hari ini.
Tambahnya, platform NFT Nidav akan mempunyai dua piawaian terpilih.
“Satu adalah eksklusif untuk jenama-jenama ikon dan perniagaan yang telah dianugerahkan oleh The BrandLaureate.
“Bagi pilihan kedua pula terbuka kepada semua orang di seluruh dunia,” ujarnya.
Sementara itu, jelasnya, Nidav juga akan melakukan beberapa perkara buat anda.
“Anataranya seperti, Nidav akan memberikan hak mutlak kepada anda serta promosi dan urusan jual beli terus tanpa melalui orang tengah.
“Menerusi Nidav anda mampu peroleh aliran pendapatan berterusan dalam bentuk jualan semula untuk setiap karya seni. Nidav juga akan memberikan royalti berulang terus kepada anda untuk setiap ciptaan NFT yang dijual sambil memastikan anda dapat mengekalkan harta intelek,” katanya. – KOSMO! ONLINE