fbpx

PATI Myanmar pilih masuk secara haram melalui Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Shukor menunjukkan gambar PATI yang ditahan PGA kepada pemberita di Markas PGA Lubok Stol, Rantau Panjang hari ini. - Foto oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar dipercayai menjadikan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebagai lokasi terbaharu untuk mereka memasuki negara ini secara haram.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, seramai 99 PATI Myanmar telah ditahan memasuki negara ini tanpa dokumen sah di Kelantan sejak Januari hingga semalam.

Menurutnya, situasi tersebut dibimbangi akan menjadi trend pada masa hadapan dan satu kajian mengenai perkara tersebut sedang dijalankan oleh pasukan berkenaan.

“Kebiasaannya warga Myanmar masuk ke negara ini dari kawasan utara tanah air iaitu Kedah dan Perlis namun, mereka kini memilih untuk melalui Kelantan. Oleh itu, satu kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand akan dijalankan menerusi pertukaran maklumat berkait isu ini.

“Saya tidak fikir Sungai Golok menjadi faktor utama. Kemungkinan besar ada pengaruh lain apabila pihak berkuasa Thailand telah mendedahkan satu sindiket penyeludupan migran telah dikesan wujud di Wilayah Songkhla. Jadi, kami tidak menolak kemungkinan kemasukan PATI itu mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Lubok Stol di sini hari ini.

Mat Shukor memberitahu, terbaharu, pihaknya berjaya menahan lima PATI Myanmar dan dua warga China menaiki dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu semalam.

Katanya, MPV pertama yang membawa dua lelaki dan tiga wanita Mynamar itu ditahan pada pukul 11.15 pagi.

“Kita turut menahan dua lelaki, seorang wanita dan kanak warga tempatan yang berada di dalam MPV tersebut yang datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu, Tanah Merah.

“MPV kedua ditahan kira-kira pukul 11.20 pagi hari yang sama. Hasil pemeriksaan itu, kita menjumpai dua PATI warganegara China dan wanita tempatan yang bertindak sebagai pemandu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI