LONDON – Bekas pemain pertahanan Liverpool, Mark Lawrenson percaya pasukan itu mampu memintas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dalam perebutan gelaran juara kerana menganggap tugas itu lebih mudah.
The Reds berjaya merapatkan jurang kepada enam mata selepas mencatat kemenangan ke atas Norwich City, manakala The Citizens pula dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Tottenham Hotspur di laman sendiri.
Liverpool yang berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila memenangi kesemua lima perlawanan terakhir liga, mampu untuk mengurangkan lagi defisit berkenaan apabila mereka turun menentang Leeds United di Anfield awal pagi esok dan memenangi aksi itu.
Lawrenson percaya bahawa tugas Liverpool untuk mengejar kedudukan pendahulu menjadi lebih mudah kerana City pastinya berdepan tekanan tinggi ketika ini ekoran kekalahan tersebut.
“Kami hanya perlu menewaskan City pada aksi di tempat lawan nanti, itu yang kami fikirkan ketika ini.
“Apa yang saya fikirkan adalah tugas untuk mengejar pasukan yang berada di atas sentiasa menjadi lebih mudah berbanding mereka yang perlu mempertahankan kedudukan itu.
“Apabila ada pemain mereka (City), satu atau dua pemain yang mula memikirkan mengenai adakah Liverpool mampu untuk memintas kami, keseluruhan pasukan itu pasti akan terkesan.
“Secara dasarnya, kita tidak akan menjangkakan bahawa Liverpool dan City akan memenangi setiap perlawanan yang mereka lalui,” katanya.
Perebutan gelaran ini dijangka berterusan dan berkemungkinan bakal diputuskan ketika aksi kedua-dua pasukan di Etihad pada 9 April nanti. – AGENSI