TABRIZ, Iran – Tiga orang maut selepas jet pejuang merempuh sebuah sekolah di Iran dalam kemalangan yang berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari (waktu tempatan) kelmarin, lapor akhbar Daily Mail.
Pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian di bandar Tabriz, wilayah Azerbaijan Timur yang dihuni 1.6 juta penduduk, selepas jet pejuang F-5 itu terhempas ke dalam bangunan sekolah yang ditutup akibat pandemik Covid-19.
Dua juruterbang dan seorang orang awam maut dalam nahas tersebut, lapor agensi berita rasmi IRNA
Pegawai tentera Iran, Reza Yousefi berkata, dua juruterbang tersebut bertindak mengorbankan nyawa mereka dengan mengemudi pesawat jauh dari kawasan perumahan sebelum terhempas.
“Pesawat itu digunakan untuk latihan dan terhempas selepas mengalami masalah teknikal.
“Mereka boleh sahaja melepaskan diri (mengaktifkan kerusi anjal) tetapi memilih kekal di dalam pesawat dan melencongkannya jauh dari kawasan kediaman,’’ jelas beliau.
Tambah Yousefi, pesawat itu telah ditempatkan di pangkalan udara Shahid Fakouri di Tabriz dan sedang dalam perjalanan pulang daripada misi latihan apabila menghadapi masalah teknikal yang menghalangnya untuk mendarat.
“Nasib baik sekolah itu ditutup kerana pandemik Covid-19,’’ kaya pegawai tempatan, Mohammad-Bagher Honarvar kepada stesen televisyen Iran
Pesawat itu terhempas sekitar pukul 1.30 di daerah Monajem, tengah Tabriz, tambah Honavar yang mengetuai unit pengurusan krisis wilayah Azerbaijan Timur.
Ketua pertubuhan Bulan Sabit Merah tempatan berkata, pesawat itu melanggar dinding bangunan sekolah dan salah seorang yang maut adalah penduduk dari rumah berhampiran. Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian tersebut.
Rakaman menunjukkan kepulan asap tebal naik ke udara ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran. Sisa-sisa pesawat yang hangus dapat dilihat di tengah-tengah runtuhan sekolah berkenaan. – Agensi