ROM – Seorang lelaki didenda £900 (RM4,870) selepas dia didapati bersalah mencuri 2 kilogram (kg) pasir dari Pantai Sardinia, salah sebuah pantai tercantik di Itali.
Menurut laporan Mirror UK, pelancong dari Perancis yang tidak didedahkan identitinya itu ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Cagliari Elmas pada 1 September lalu.
Dia ditahan selepas penemuan satu botol kaca berisi 2 kg pasir berwarna merah jambu dan putih.
Seorang jurucakap Pantai Sardinia berkata, pihak berkuasa mendapati pelancong itu cuba untuk menjual pasir berkenaan secara online.
“Pihak kami merampas botol berisi pasir itu dan disimpan di bilik operasi yang menempatkan barang-barang rampasan.
“Sejak akhir-akhir ini semakin banyak botol berisi pasir dirampas oleh pihak berkuasa,” katanya kepada portal berita CNN.
Undang-undang terhadap kesalahan menyeludup keluar pasir dari Pantai Sardinia telah dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu selepas ramai pelancong mengambil butiran pasir di situ untuk dibawa pulang sebagai cenderahati.
Individu yang didapati bersalah mencuri pasir di Pantai Sardinia boleh didenda £450 (RM2,430) hingga £2,700 (RM14,600) mengikut berat pasir dicuri.
Butiran pasir di Pantai Sardinia menjadi sasaran pencuri kerana berwarna merah jambu dan putih seperti batu kristal. – AGENSI