fbpx

Peniaga pasar malam, 3 rakan sudah meninggal dunia didakwa curi Ford Ranger

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zubairi (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat hari ini untuk didakwa atas pertuduhan mencuri sebuah Ford Ranger kira-kira tiga minggu lalu.

TUMPAT – Seorang peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Kampung Seri Pinang 2, Palekbang di sini kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Zubairi Yaacob, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama tiga yang telah meninggal dunia iaitu Ahmad Syafiq Abdul Malik, 30, Mohd. Khairul Anuar Iskandar, 33 dan Amir Sidi Ahmad, 50, telah mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger berwarna biru dalam milikan Mohd. Asraf Mohd. Asri.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah tanpa nombor, Kampung Seri Pinang 2, Palekbang di sini kira-kira pukul 1.20 pagi pada 3 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.

Terdahulu, Muhammad Shahril menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Ahmad Adha Amir dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah untuk anak guamnya kerana perlu menyara dua orang isteri dan lima orang anak berusia 4 hingga 15 tahun.

“Anak guam saya hanya berniaga di pasar malam dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Tertuduh juga bekerja sambilan sebagai ejen pemerolehan yang ditugaskan untuk mendapatkan semula kenderaan yang tidak membayar ansuran kepada pihak bank,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 6 April depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas hampir dua minggu bersembunyi, seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Kampung Sungai Pinang di sini ditahan pada 14 Februari lalu.

Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kampung Dusun, Kubang Kerian dekat Kota Bharu kira-kira pukul 4.30 petang.

Sebelum itu, tiga lelaki maut termasuk dua daripadanya rentung selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang tiang di hadapan rumah sebelum terbakar.

Kejadian di Kampung Paloh, Morak di sini pada 3 Januari lalu membongkar aktiviti jenayah samun yang dilakukan mangsa sebelum nahas.

Bagaimanapun, salah seorang rakan mereka berjaya melarikan Ford Ranger itu sebelum kenderaan itu terbabas berhampiran sebuah pejabat pos di Kubang Kerian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI