BEIJING – China nafi bertanggungjawab terhadap sebuah roket yang akan menghempas Bulan setelah melakukan perjalanan dengan kelajuan 9,173.26 kilometer sejam pada 4 Mac ini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Melalui sidang akhbar di Beijing kelmarin, Kementerian Luar China menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa objek yang dijadualkan jatuh ke Bulan itu adalah pendorong roket daripada misi Chang’e 5-T1.
Pendorong berkenaan sebaliknya terbakar ketika memasuki semula atmosfera Bumi, demikian kenyataan jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin ketika menegaskan bahawa inisiatif aeroangkasa Beijing sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa.
Setelah dikesan meluncur ke arah Bulan pada bulan lepas, serpihan roket itu sebelum ini dikatakan milik firma bilionair Elon Musk, SpaceX.
“Menurut pemantauan China, komponen misi Chang’e-5 itu jatuh ke atmosfera Bumi dengan cara selamat dan terbakar sepenuhnya,’’ kata Wenbin ketika menjawab wartawan.
“China mematuhi undang-undang antarabangsa untuk pembangunan hal ehwal angkasa lepas dan akan melindungi pembangunan aktiviti luar angkasa dalam tempoh jangka,’’ jelas beliau. – Agensi