Baru-baru ini ada seorang pensohor media sosial membuat ciapan gambar mengenai anaknya yang comel baharu selesai di vaksin di sebuah pusat Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Penulis melihat pose yang diberikan anaknya itu sungguh comel seperti seorang model cilik.
Namun apa yang jelik apabila membaca rata-rata komen sungguh annoying (menjengkelkan) seolah-olah mendoakan perkara tidak elok berlaku kepada kanak-kanak itu.
Penulis mengucap panjang membaca komen-komen itu, sepatutnya kita mendoakan yang baik-baik agar kanak-kanak itu tiada gejala selepas suntikan vaksinasi Covid-19 berlaku kepada orang dewasa.
Tiada lenguh tangan, tidak demam, pendek nafas dan sebagainya.
Sebaliknya, komen yang ditinggalkan; ‘sis tidak takut ke anak kena suntik, banyak kes dah sis’.
‘Hati-hati kak jangan menyesal pula, ramai budak sihat jadi tidak sihat selepas kena suntik’.
Itulah beberapa komen yang ditinggalkan, ibu kepada kanak-kanak itu hanya membalas ringkas, ‘Alhamdulilah tiada apa-apa kesan sampingan semua ok’.
Tidak habis di situ, masih banyak lagi komen-komen seumpama itu yang ditinggalkan oleh cybertropper antivaksin di setiap gambar kanak-kanak lain yang divaksin.
Boleh dikatakan mereka panas punggung melihat anak-anak orang lain divaksin. Umpamanya, anak saya disuntik, awak pula yang meroyan.
Kalau tidak mahu disuntik duduk diam-diam saja, jangan kacau anak orang.
Mereka tidak mahu tahu bahawa kes jangkitan Covid-19 melibatkan bayi sehingga kanak-kanak berumur 11 tahun meningkat pada minggu epid keenam kepada 16,959 daripada 6,524 minggu sebelumnya tahun ini.
Tidak kasihankah jika anak kita mengalami gejala teruk dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi, tidak menyesalkah ibu bapa jika kita tidak membuat apa-apa bagi mencegah penyakit itu menjadi lebih teruk.
Adakah kita sudah lupa kes Covid-19 menggila tahun lepas sehingga kontena mayat terpaksa diletakkan di bilik mayat di hospital kerajaan.
Kita cepat sungguh lupa dah asyik menyalahkan Kementerian Kesihatan.
Tahukah anda bahawa 80 peratus kaum Cina sudah mengambil dos penggalak dan hanya 50 peratus kaum Melayu yang menerima suntikan itu.
Pandai cybertropper antivaksin buat kerja.