PETALING JAYA – Disebabkan gurauan ibunya, Noor Kartini, pesohor media sosial Athisha Khan dihujani ucapan tahniah kerana disangka telah hamil anak sulung.
Menyangkal semua dakwaan tersebut, Atisha menerusi InstaStorynya menjelaskan dirinya belum hamil seperti yang tular dalam TikTok baru-baru ini.
“Saya lihat video TikTok ibu saya telah membuatkan anda tertipu. Maafkan saya tetapi masih belum ada bayi (hamil) lagi,” kata adik kepada selebriti terkenal, Neelofa itu.
Menerusi hantaran sama, Athisha turut memuat naik tangkap layar ucapan tahniah daripada netizen kerana berita kehamilan palsu tersebut.
Beberapa hari lalu, Noor Kartini menerusi video TikToknya mengundang tanda tanya ramai apabila dia memberitahu Athisha kini berbadan dua.
“Athisha hamil, tahniah,” ujarnya.
Perkara tersebut seterusnya mengundang pelbagai reaksi positif sehingga ada yang teruja anak Neelofa iaitu Muhammad Bilal bakal mendapat ‘kawan sebaya’ tidak lama lagi.
Sebagai info, Athisha atau nama sebenarnya Noor Athisha Khan, 24, mendirikan rumah tangga dengan Wan Amirul Haiqal di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE