fbpx

Penganggur didakwa bunuh ibu tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini untuk menghadapi prosiding pertuduhan membunuh ibu tirinya minggu lalu. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek di sini minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Abdullah, 33, yang juga merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Rahana Abd. Razak, 55.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek di sini kira-kira pukul 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Februari lalu.

Berita berkaitan: Suspek penggal kepala ibu ketagih pil kuda

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, angkara pil kuda, seorang lelaki sanggup membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Machang, Jerek di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan leher terputus di dalam sebuah bilik rumah lima beranak itu.

Kejadian malang itu diketahui selepas suspek datang menyerah diri di Balai Polis Bertam di sini dan mengaku telah membunuh ibu tirinya dengan parang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI